fbpx

Agropolitan Kelantan Selatan bantu rakyat miskin tegar tingkat pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (tiga dari kiri) melawat gerai peserta Agropolitan Kelantan Selatan di Rantau Manis, Gua Musang, Kelantan hari ini.

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Projek Agropolitan Kelantan Selatan yang dilaksanakan di Rantau Manis dekat sini dengan peruntukan RM250 juta menguntungkan rakyat miskin tegar untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejak projek itu dilaksanakan pada tahun 2009, ia telah memberi manfaat kepada 600 peserta dan ahli keluarga mereka meningkatkan taraf hidup.

Katanya, kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah membantu peserta meningkatkan pendapatan mereka yang pada mulanya hanya RM500.

“Pihak ECERDC sudah membenarkan peserta untuk keluar bekerja dan mereka bukan terikat di sini sahaja untuk mencari pendapatan tambahan.

“Kebanyakan purata pendapatan peserta meningkat antara RM1,000 sehingga RM1,500 sebulan. Ada juga jumlah isi rumah keluarga mencapai RM2,300 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Rantau Manis di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, mengikut perancangan ECERDC bermula hujung tahun depan, Agropolitan Rantau Manis akan diserahkan sepenuhnya kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) untuk terus dimajukan.

“Bermula pada 2022 akan diuruskan sepenuhnya oleh Kesedar. Sekarang ini, kita fikirkan beberapa kaedah atau model terbaik untuk menjamin kelestarian projek ini.

“Kita berharap dengan kepakaran Kesedar dapat membantu meningkatkan lagi pendapatan peserta,” katanya.

Tambah Mustapa, ketika ini terdapat 21 projek sama di seluruh negara bagi membantu peserta miskin tegar untuk meningkatkan pendapatan mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI