Agak-agaknya semalam ada yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana gagal mendapat nombor atau ruang di dalam masjid sudah penuh.
Mereka yang dapat solat Jumaat sudah tentu gembira terutama yang dipilih untuk menunaikannya.
Alhamdulillah, penulis dapat menunaikan solat tersebut sebaik kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Penulis yakin orang Islam paling gembira menunaikan solat Jumaat semalam ialah mereka yang bersembahyang di lokasi bersejarah, Masjid Hagia Sophia di Turki.
Umum mengetahui bangunan bersejarah itu telah dijadikan muzium ketika pemerintahan pemimpin sekular Republik Turki pertama, Mustafa Kemal Ataturk pada tahun 1934.
Selepas 86 tahun, status bangunan bersejarah itu kembali diubah menjadi masjid apabila mahkamah Turki pada 11 Julai lalu membenarkan permohonan badan tempatan untuk memansuhkan tindakan Mustafa ketika pemerintahannya.
Gerakan menukar status masjid Hagia Sophia atau dikenali sebagai Ayasofya dalam kalangan penduduk tempatan dicetuskan oleh Presidennya, Recep Tayyip Erdogan dan dibantu sokongan padu pasukan kerajaannya.
Seperti dijangka, tindakan itu mengundang rasa marah negara jirannya iaitu Greece, Rusia, Georgia dan Cyprus yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Ia disebabkan mereka menganggap bangunan itu sebagai tempat suci kerana Hagia Sophia sentiasa menjadi rebutan ekoran rentetan sejarahnya yang panjang bagi penganut Islam dan Kristian.
Itu sejarah ringkas mengenai Hagia Sophia.
Sebenarnya, ada beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa itu. Ketegasan Erdogan untuk tidak berganjak dengan keputusannya walaupun mendapat pelbagai tekanan wajar dijadikan iktibar.
Apatah lagi niatnya menjadikan Hagia Sophia sebagai masjid sebagai lambang kebesaran Islam sewajarnya dipuji.Tiada apa yang hendak dimarahkan kerana mereka yang bukan beragama Islam masih dibenarkan untuk melawat.
Begitulah nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita. Kewujudan masjid sepatutnya digunakan untuk mengeratkan hubungan sesama umat.
Lupakah kita ketika masjid tidak lagi dapat dikunjungi selama tiga bulan sepanjang PKP? Berapa ramai yang rindukan solat berjemaah tidak lagi dapat melakukannya ekoran virus Covid-19.
Tindakan kerajaan yang mengawal ketat pintu sempadan ternyata berjaya membendung penularan wabak itu hingga membolehkan banyak premis termasuk masjid telah dibuka semula wajar dipuji.
Pujian juga harus diberikan kepada pasukan barisan hadapan terutama petugas kesihatan, polis dan tentera yang bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19.
Akhir kata, sama-samalah kita berdoa agar nikmat solat berjemaah di masjid yang sedang kita kecapi semula ini dapat dilaksanakan secara berterusan.
Mereka yang masih gagal mendapatkan slot solat Jumaat juga diharapkan tidak berputus asa dan cubalah datang awal ke masjid bagi mengubati kerinduan tersebut.