PETALING JAYA – Polis mengeluarkan kompaun terhadap 310 pengunjung pusat hiburan susulan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dalam satu serbuan di Mutiara Damansara di sini awal pagi tadi.
Serbuan berakhir pukul 5 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bertindak atas maklumat risikan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faizal berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun kepada 310 pengunjung pusat hiburan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
“Setiap seorang dikompaun RM1,000 dan mereka terdiri daripada 200 lelaki dan 110 wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun,” katanya.
Menurutnya lagi, dalam serbuan itu yang sama, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang disyaki menggajikan pekerja asing tanpa permit sah selain tidak memiliki lesen pusat hiburan.
“Selain itu, kita juga menahan 10 lelaki warga asing berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun kerana disyaki bekerja tanpa permit yang sah.
“Turut dirampas pelbagai barang elektrik serta wang tunai RM9,350,” ujarnya. – K! ONLINE