Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
KUALA LIPIS – Hujan lebat awal pagi ini menyebabkan tiga buah rumah berhampiran sungai di Pos Lenjang di sini musnah dibadai kepala air di Pos hari ini
Difahamkan kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi itu menyaksikan kepala air deras yang berlaku tiba-tiba membawa lumpur sehingga memusnahkan rumah.
Selain itu hujan lebat yang turut menyebabkan berlakunya tanah runtuh di satu-satunya laluan ke Pos Titom.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Laluan terputus menyebabkan kenderaan tidak boleh keluar masuk ke Pos Lenjang dan terdapat tiga buah rumah di landa kepala air.
“Kesemua penghuni rumah dapat menyelamatkan diri dan tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini,”katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri, Johari Alwi berkata, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya telah menghantar jentera bagi melakukan pembersihan jalan ke Pos Titom yang dilanda tanah runtuh.
Tambahnya, pegawai Jakoa juga telah ke kawasan rumah penduduk terlibat kepala air bagi memantau dan membantu. – K! ONLINE