KHABAR angin pelakon, Mira Filzah, 27, bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat bukan lagi spekulasi. Semuanya, bagaikan sudah terang lagi bersuluh.
Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman mengesahkan dia sudah bertunang dengan seorang arkitek, Wan Emir Astar. Biarpun begitu, dia masih berjaga-jaga untuk tidak terlalu terperinci membuat pendedahan mengenai pertunangan tersebut.
Apa yang menarik, bakal ibu mertuanya, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd. Yazid sendiri ada membuat pengesahan bahawa kedua-dua keluarga sudah bertemu bagi membincangkan hubungan Mira dan Wan Emir.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon yang terkenal dengan drama rantaian Pujaan Hati Kanda itu ketika ditemui pada majlis pelancaran saluran penstriman terbaharu, Nurflix.TV baru-baru ini.
KOSMO!: Jadi, Mira kini sudah sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri dan bakal mendirikan rumah tangga pada Oktober depan, boleh perincikan?
MIRA: Ya, saya sudah dipinang orang. Saya tak boleh komen banyak setakat ini kerana semuanya masih terlalu awal untuk dikongsikan. Apa sahaja perancangan dan khabar gembira akan dikongsikan kepada semua nanti. Media akan dijemput pada hari tersebut.
Insya-Allah, saya kini sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri. Selain itu, memandangkan kerajaan juga sudah membenarkan jumlah tetamu untuk majlis perkahwinan adalah 250 orang, jadi sudah tentu saya akan sediakan tempat untuk rakan-rakan media.
Apa-apa pun, saya akan maklumkan sekiranya semuanya sudah sedia untuk diumumkan.
Maknanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sehinggalah kini sudah memasuki fasa pemulihan (PKPP), anda juga sibuk dengan persiapan perkahwinan, boleh jelaskan?
Ya, saya sibuk lakukan persiapan perkahwinan dalam tempoh tersebut. Setakat ini saya tak dapat beritahu sudah berapa peratus yang sudah dibereskan, tapi setiap perancangan sedang berjalan. Harap semuanya lancar.
Anda kelihatan sudah boleh bersikap terbuka dengan semua perkongsian kisah cinta, sebelum ini anda bukanlah seorang yang gemar berkongsi mengenai cerita peribadi, apa yang membuatkan anda sedikit berubah?
Sebenarnya, saya tidaklah terlalu terbuka berkongsi semua cerita. Bagi saya semuanya biasa-biasa dan masih terkawal. Saya masih lagi berpegang prinsip tidak berkongsi terlalu banyak kepada umum dan kekalkan kisah peribadi sebagai privasi. Selain itu, saya juga diminta untuk tidak terlalu terbuka untuk bercerita. Apa pun, saya akan umumkan kepada semua.
Beralih tentang isu industri, baru-baru ini anda ada menyuarakan pendapat mengenai hak royalti untuk anak seni terutama bagi para pelakon, boleh anda memperincikan perkara tersebut?
Pada pemerhatian saya, hak royalti ini penting. Pelakon di Malaysia semakin ramai dan usia juga makin bertambah. Macam yang kita dapat lihat sekarang, ada yang sakit dan ada yang tidak lagi berdaya untuk berlakon tetapi drama atau filem lakonan mereka masih ditayangkan berulang kali.
Malangnya, mereka tidak mendapat apa-apa, apatah lagi hak royalti sedangkan mereka sudah bekerja keras untuk sesebuah drama dan filem.
Anak seni tiada pendapatan tetap dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, jadi kita perlu bersedia dan fikirkan soal kelangsungan hidup pada masa depan.
Jadi, baru-baru ini, saya ada suarakan isu tersebut kepada pihak produksi Nurflix.TV.
Saya usulkan agar semua pelakon yang terlibat dengan mana-mana program bersama Nurflix.TV wajar mendapat hak royalti dan syukur cadangan itu diterima baik.
Mengapa baru sekarang anda agak serius membincangkan isu royalti?
Sebelum ini saya ada juga berborak dengan beberapa pengarah dan penerbit mengenai perkara ini. Saya bukan tidak mahu ke depan untuk menjadi wakil berkaitan isu ini, tetapi masih belum berpeluang kerana jadual seni saya sejak beberapa tahun ini agak padat.
Tambah pula, sekiranya hendak membincangkan perkara ini secara serius, saya perlu betul-betul bersedia dan terdapat juga prosedur yang perlu dilakukan.
Jadi, dengan adanya sesi bersama media sebegini, saya akan terus menguar-uarkan kepada semua supaya mesej ini sampai.
Bagaimana pula dengan perjalanan karier seni anda semenjak PKP dan kini PKPP dilaksanakan?
Saya ada menerima beberapa tawaran lakonan drama. Nanti saya akan kongsikan.
Saya juga baru sahaja selesai menjalani pengambaran drama untuk sebuah stesen televisyen. Saya juga akan terlibat dalam sebuah drama bersiri, Mira Mira On The Wall untuk platform penstriman digital terbaharu, Nurflix.TV yang akan memaparkan kandungan berlandaskan syariah.
Insya-Allah pengambaran akan dijalankan dalam masa beberapa bulan akan datang. Pada sama juga, aktiviti pengacaraan masih berjalan dan saya akan mula sibuk dengan sesi pengambaran kempen promosi beberapa produk. Syukur rezeki masih ada untuk saya terus bekerja.