Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
BALING – Tujuh buah rumah di Kampung Teluk Merudi dan Teluk Petata dalam mukim Kupang di sini dilanda banjir kilat pada malam ini akibat limpahan sungai berikutan hujan lebat sejak petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, rumah penduduk ditenggelami banjir sehingga satu meter.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7 malam tadi.
“Sebanyak tujuh buah rumah terjejas akibat limpahan sungai dengan anggaran paras air sedalam satu meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, komander operasi bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Baling membuat pemantauan di sekitar kawasan banjir dan memindahkan empat mangsa ke rumah jiran.
“Mereka terdiri daripada dua warga emas, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak,” ujarnya.
Tambahnya, keadaan banjir pada ketika ini telah mulai surut.-K! ONLINE