PUTRAJAYA – Pengguna media sosial bebas menggunakan platform sedia ada seperti TikTok dan YouTube termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan bertegas dengan pendirian untuk mendokong prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman media sosial.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta FINAS untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Justeru, Saifuddin berkata kerajaan akan meminda Akta FINAS 1981 (Akta 244) dengan mengambil kira situasi semasa.
Beliau berkata pihaknya telah memulakan usaha untuk meminda akta-akta di bawah pengawasan kementerian itu agar bersesuaian dengan situasi semasa seperti yang diumumkan pada 20 Jun lepas.
“Kami akan memulakan proses meminda akta-akta tersebut dalam masa terdekat,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan keputusan kerajaan mewajibkan semua penerbit filem memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) bagi tujuan menerbitkan karya berkenaan di platform media sosial atau saluran tradisi.
Keputusan mengundang kecaman dan rasa tidak puas hati warga netizen dan menganggap ia tidak masuk akan serta membebankan. – K! ONLINE