KUALA LUMPUR – “Perlu kajian menyeluruh.”
Itu antara respon yang diberikan oleh kalangan pembikin video di media sosial mengenai cadangan kerajaan yang mewajibkan setiap penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum menerbitkan filem masing-masing sama ada di platform media sosial atau saluran tradisi.
Seorang Youtuber terkenal dikenali dengan nama Elmi #malaysia berkata, cadangan tersebut merupakan satu cadangan yang baik, namun timbul sedikit kekeliruan kerana individu yang mahu mendapatkan lesen berkenaan perlu memenuhi beberapa syarat.
“Bayaran yang dikenakan untuk mendapatkan lesen tersebut hanya RM100, tetapi seseorang itu perlu ada Sijil Pendaftaran Syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu selain perlu ada satu akaun bank syarikat berjumlah RM50,000.
“Mana mungkin individu yang baru berjinak dengan platform media sosial terutamanya YouTube ada duit sebanyak itu. Sebelum syarat itu diumumkan, kerajaan perlu kaji perkara ini terlebih dahulu,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penerbit filem wajib memohon lesen SPP, sama ada mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu (personal media) yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.
Beliau berkata, Finas mengeluarkan tiga jenis lesen kepada industri perfileman iaitu Lesen Pengeluaran Filem/Video, Lesen Pengedaran Filem/Video dan Lesen Pemameran Filem/Video.
Sementara itu, live-streamer e-sukan, Agus Rianzz turut mengakui agak keliru sama ada live-streamer sepertinya turut termaktub dalam peraturan itu ataupun tidak.
Beliau menganggap, peraturan itu sebagai melecehkan jika dikenakan ke atas individu sepertinya kerana perlu menanggung kos tambahan selepas ini.
“Saya rasa keliru mengenai perkara ini kerana live-streamer macam kami bukan buat video dokumentari. Bimbang juga jika ini boleh menyekat kreativiti orang muda,” katanya.