SHAH ALAM – Pengacara dan pelakon, Neelofa mengakui sudah lali apabila sering dikaitkan dengan beberapa selebriti lelaki sepanjang bergelar artis termasuklah yang terbaharu, hubungan cinta dengan Pencetus Ummah, PU Riz.
Mengulas mengenai hubungannya dengan PU Riz, pemilik nama Noor Neelofa Mohd. Noor berkata, dia dan pendakwah terkenal itu mula rapat sejak tiga tahun lalu tetapi semuanya hanya berkaitan urusan kerja dan dakwah.
“Beliau sebenarnya salah seorang ustaz yang menjadi jurucakap bagi Pertubuhan Kasih Neelofa, jadi apa sahaja isu berkaitan dakwah, PU Riz yang akan ke depan untuk bercakap kepada media sebab beliau lebih layak bercakap tentang agama.
“Saya sudah berada di dalam industri bukan baru setahun dua tetapi sudah lebih 10 tahun malah hampir setiap minggu saya membaca gosip-gosip cinta mengenai saya, sebelum ini saya dikatakan bertunang dengan Zizan Razak. Semua ini bukan lagi perkara baru pada saya,” katanya.
Dia berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Richwork Sdn. Bhd. kepada Pertubuhan Kasih Neelofa di Shah Alam sebentar tadi.
Terdahulu, hubungan Neelofa dan PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail dikhabarkan semakin rapat sejak Ramadan lalu, apabila pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu sering menjadi imam solat terawih dan menyampaikan tazkirah di kediaman Neelofa.
Selain itu, terdapat juga pengguna Twitter mendoakan hubungan Neelofa dengan PU Riz agar pasangan itu mempunyai kesudahan yang baik.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kasih Neelofa menerima sumbangan sebanyak 151 ekor lembu bernilai RM795, 750 daripada Richwork Sdn.Bhd. sempena Program Ibadah Qurban Kasih Neelofa.
Menurut Neelofa, golongan yang bakal menerima sumbangan tersebut adalah terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal. K! ONLINE