Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Kelab Usahawan Bandar Meru Raya (KUBMR) kesal dengan isu tular baru-baru ini melibatkan seorang wanita warga emas yang singgah menjamu selera di sebuah kafe di sini.
Isu ini menjadi perhatian dan perdebatan warga maya susulan tindakan wanita terbabit keluar rumah dalam tempoh kuarantin.
Pengerusinya, Nasry Mardee Ismail berkata, susulan insiden berkenaan mengakibatkan lebih 100 peniaga di sini terkesan apabila jumlah pelanggan semakin berkurangan.
Menurut beliau, majoriti peniaga juga tidak mengetahui perihal ‘gelang kuarantin’ kerana sebelum ini tiada makluman secara langsung dari segi bentuk, warna dan tujuannya.
“Lebih mengecewakan, susulan isu tular itu kedai makan lain pula menjadi mangsa, walhal ia berlaku di kafe lain.
“Maksudnya, tuduhan terhadap Restoran Pokok Belacan dan Mydin Mall adalah tidak berasas kerana tiada kena-mengena dengan insiden tersebut,” ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, pesakit wanita berkenaan yang telah dikenal pasti kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Wanita berusia 72 tahun itu diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu.
Menjelaskan lebih lanjut kata Nasry, orang ramai tidak perlu bimbang untuk datang ke Bandar Meru Raya kerana pengusaha premis sentiasa menitikberatkan pematuhan SOP.
“Kami bukan ingin menegakkan benang yang basah, tetapi mengambil inisiatif untuk menjernihkan keadaan.
“Kita juga memohon janganlah disebarkan berita yang tidak benar kerana kesannya besar termasuklah boleh menakut-nakutkan orang ramai,” ujarnya.