Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT – Seorang peniaga aksesori kereta cedera selepas rantai emasnya cuba diragut penjenayah dalam kejadian rompakan di premis perniagaannya di Sitiawan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian itu, dua lelaki menunggang sebuah motosikal datang ke premis itu dengan seorang daripadanya pura-pura mahu membaiki motosikal.
“Suspek kemudiannya mengacukan pisau dan meminta mangsa menyerahkan rantai emas dipakainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Omar berkata, mangsa bertindak mempertahankan diri dan berlaku pergelutan dengan suspek sehingga menyebabkan rantai emas itu putus dan jatuh atas lantai.
Katanya, terkejut dengan tindakan mangsa, kedua-dua suspek melarikan diri tanpa sempat mengambil rantai emas itu.
“Pergelutan itu menyebabkan mangsa yang berusia 30-an cedera ringan pada leher, pergelangan tangan, jari manis dan hidung. Dia kemudiannya mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Seri Manjung,” katanya.
Nor Omar berkata, polis sudah melihat rakaman televisyen litar tertutup di premis itu dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurain Yahaya di talian 017-2045059 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE