fbpx

Lebih 30 minit pujuk penagih dadah naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang penagih sedang dipujuk untuk keluar dari parit.

SEBERANG PERAI – Seorang penagih dadah sanggup berendam lebih setengah jam di dalam parit dipenuhi pokok kiambang bagi mengelakkan dirinya daripada ditahan oleh anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Nibong Tebal di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, usaha membawa naik suspek bagaimanapun terpaksa dibantu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas dia terus berdegil.

Pengarah AADK negeri, Elmariah Chung berkata, ketika kejadian, anggotanya sedang melakukan rondaan di kawasan itu sebelum melihat dua lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka memecut laju dan mencampakkan motosikal ke tepi jalan sebelum kedua-duanya terjun ke dalam parit yang dipenuhi pokok kiambang.

“Anggota AADK telah mengarahkan kedua-dua suspek naik ke tepi jalan, namun hanya penunggang yang naik manakala pembonceng enggan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Elmariah berkata, usaha memujuk lelaki itu mengambil masa hampir 30 minit sebelum pihaknya mendapatkan bantuan pihak APM.

“Anggota APM dan AADK berjaya menyelamatkan suspek dengan menariknya menggunakan pelampung,” katanya.

Menurut Elmariah, hasil siasatan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI