PASUKAN Selangor akur tidak dapat menggunakan gelanggang keramat, Stadium Shah Alam pada baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini kerana gagal mendapat lampu hijau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengakui proses pengubahsuaian Stadium Shah Alam sejak awal tahun ini ditangguhkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus meranapkan harapan menjadikan venue tersebut sebagai gelanggang tuan rumah musim ini.
Katanya, hasil mesyuarat yang dilakukan pada minggu ini, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersetuju untuk menjadikan Stadium UiTM, Shah Alam sebagai gelanggang buat skuad utama Selangor manakala Stadium MBPJ, Petaling Jaya untuk skuad Liga Premier, Selangor II.
MAHFIZUL
“Stadium Shah Alam masih belum lulus piawaian yang ditetapkan oleh MFL, justeru ia tidak akan digunakan untuk mengharungi baki saingan Liga M musim ini dan pasukan akur dengan keputusan tersebut.
“Kami telah berbincang dan bersetuju untuk mencadangkan Stadium UiTM sebagai gelanggang rasmi Selangor dan Stadium MBPJ untuk Selangor II. Justeru, kami kini hanya menunggu jadual daripada MFL dan harap ia tiada masalah berbangkit,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mengulas lanjut, Mahfizul anggap keputusan untuk berhijrah ke venue yang lebih kecil seperti Stadium UiTM dan Stadium MBPJ ada hikmah tersendiri memandangkan saingan bola sepak tahun ini akan dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong ekoran penularan wabak Covid-19.
“Kami tidak begitu ralat memandangkan kemungkinan besar saingan musim ini akan berlangsung tanpa kehadiran penyokong. Justeru, venue stadium yang lebih kecil memudahkan pihak FAS menguruskan prosedur standard operasi yang ditetapkan oleh MFL dan kerajaan,” katanya. – K! ONLINE