MUNGKIN ramai sudah lupa prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Ia menekankan rakyat Malaysia supaya sentiasa bermoral tinggi dan membenci tingkah laku yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang.
Kejadian menconteng mural potret gergasi menggunakan semburan cat berwarna merah terutama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini boleh diibaratkan seperti tidak sempurna jati diri pelaku terbabit sebagai seorang warganegara Malaysia.
Selain Yang di-Pertuan Agong, mural potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut diconteng.
Tindakan itu mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyifatkan perbuatan tersebut amat biadab.
“Beta berharap pelaku yang terlibat dapat ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan,” titah baginda.
Bagaimanapun, polis Selangor yakin dapat menahan individu terlibat dengan perbuatan menconteng mural yang terletak di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor.
Polis telah menemui beberapa petunjuk dikaitkan dengan dua wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian tersebut.
Ironinya, tiga pelukis mural potret tersebut iaitu Muhammad Suhaimi Ali, Abdul Hadi Ramli dan Muhamad Firdaus Nordin hanya mengekspresikan citra orang muda sebagai menghargai jasa-jasa pemimpin tersebut terutama sepanjang tempoh memerangi Covid-19 ini.
“Kami menghasilkan mural tersebut untuk menghargai pemimpin negara, bukannya bermotifkan negara. Siapa tidak sedih dan terkilan hasil selama tiga bulan ranap begitu sahaja disebabkan perbuatan keji dan dengki,” ujar Muhammad Suhaimi.
Menurut pakar psikologi, Dr. Meriam Omar Din, perbuatan menconteng mural potret gergasi itu didorong perasaan marah dan benci terlampau berdasarkan pengalaman sendiri terhadap negara.
Katanya, situasi ini ditambah apabila individu itu berdepan pelbagai cabaran dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.
“Apabila seseorang meluahkan perasaan kebencian yang keterlaluan kepada seseorang atau pihak berkuasa, biasanya ia berdasar pada pengalaman personal yang pahit. Tindakannya mungkin boleh melanggar tatasusila dan Rukun Negara.
“Ia petanda tidak baik. Untuk mengelakkan perkara begini berleluasa, kerajaan perlu mengadakan program menetapkan nilai-nilai kenegaraan kerana perpaduan bangsa dan patriotisma sudah lama diabaikan dalam kurikulum sekolah,” katanya.
Tambahnya, jika diperhatikan, nilai di negara yang stabil dan maju ialah semangat patriotisme dan sikap akur pada perundangan negara yang tinggi.
Menurut Meriam, di Malaysia, kepincangan faktor-faktor keharmonian antara kaum dan nilai etika sosial dan tatasusila yang semakin tergugat adalah petanda-petanda yang boleh menjejas keselamatan negara.
“Rukun Negara sekiranya diamalkan mampu memupuk semangat patriotisme seterusnya menjadi perisai atau panduan terbaik menghasilkan masyarakat yang bersatu serta mengetepi perbezaan demi kehidupan harmoni,” katanya.