KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Erra Fazira dimasukkan ke wad sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya dekat sini selepas disahkan demam denggi semalam.
Pembantu peribadinya, Shahrendra Abd. Razak berkata, pelakon filem Wangi itu mengalami demam panas sejak tiga hari lalu.
“Pada mulanya Erra cuma demam biasa, tetapi dia mengalami sakit badan dan urat.
“Selepas mendapatkan rawatan pagi tadi (semalam), doktor mengesahkan dia (Erra) demam denggi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ekoran itu, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek terpaksa menanggguhkan beberapa komitmen kerjanya termasuk tugas mengacara program Mingguan Wanita yang sepatutnya bersiaran pada pukul 12 tengah hari semalam.
“Esok (hari ini) Erra sepatutnya terlibat dalam program Go Shop dan menyambung penggambaran drama bersiri Gerak Khas. Jadi buat masa ini, semua aktiviti seni membabitkan Erra terpaksa ditunda.
“Mohon semua (peminat) mendoakan kesihatan Erra supaya segera sembuh. Saya bagi pihak Erra memohon maaf atas segala kesulitan,” ujar Shahrendra.
Sebelum ini, Erra tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan.
Ini merupakan kali kedua aktres berusia 46 tahun itu dimasukkan ke hospital selepas kali pertama semasa melahirkan puterinya, Engku Aleesya Engku Emran pada tahun 2009.