ANKARA – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengimamkan solat Jumaat pertama di Hagia Sophia yang dihadiri oleh beribu-ribu orang Islam hari ini.
Beliau yang memakai kopiah membaca ayat suci al-Quran sebelum azan berkumandang dari empat menara Hagia Sopia, kata beberapa koresponden agensi berita AFP
Ketua direktorat hal ehwal agama, Ali Erbas kemudian membaca khutbah yang disiarkan secara langsung di saluran berita Turki.
Ramai orang berhasrat menyertai solat Jumaat pertama ini, kata Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya pagi tadi.
Dalam perkembangan sama, orang Islam yang berpeluang mengerjakan solat Jumaat pertama di Masjid Hagia Sophia itu menyifatkan ia sebagai peristiwa bersejarah.
“Ini adalah detik apabila Turki memutuskan rantai yang membelenggunya. Kini, Turki boleh melakukan apa sahaja yang ia mahu tanpa perlu tunduk kepada Barat,” kata Selahattin Aydas yang berasal dari Jerman.
UMAT Islam menunaikan solat Jumaat di luar Masjid Hagia Sophia hari ini. – AFP
Pada Rabu lalu, Ali Erbas berkata bahawa sehingga 1,000 orang dijangka menyertai solat Jumaat tersebut.
Menurut media Turki, pemimpin daripada sebilangan negara Islam juga diundang termasuk Qatar dan Azerbaijan.
Hampir 20,000 anggota pasukan keselamatan ditempatkan di kawasan itu bagi memastikan solat Jumaat tersebut berlangsung aman tanpa sebarang insiden.
Mahkamah tertinggi di Turki membatalkan status muzium pada monumen kurun keenam itu pada 10 Julai lalu, manakala Erdogan mengarahkan bangunan Hagia Sophia dibuka semula untuk umat Islam beribadat.
Langkah tersebut meningkat kemarahan komuniti Kristian dan menjadikan hubungan antara Turki dan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Udara, Greece semakin dingin.
Hagia Sophia adalah tapak warisan dunia dan pertama kali dibina sebagai sebuah gereja oleh Empayar Kristian Rom Timur tetapi diubah menjadi masjid selepas Empayar Uthmaniyah menakluki Istanbul (dahulunya Constantinople) pada tahun 1453.
Kira-kira 3.8 juta pelancong melawat Hagia Sophia tahun lalu. – AFP