Oleh ZAKI SALLEH
GERIK – Dua orang pemandu lori maut apabila kenderaan dipandu mereka bertembung dalam kemalangan yang berlaku dekat Hentian Perah di sini malam tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu membabitkan lori tiga tan yang membawa muatan ikan dengan sebuah lori kosong.
Identiti mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Saidon Abdullah, 45, pemandu lori ikan dan Muhammad Khairul Izham Mohd Gebing, 27.
Jurucakap bomba memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.38 malam lalu mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik ke tempat kejadian.
Katanya, lori ikan dipandu Saidon bersama anak perempuanya berumur 13 tahun dalam perjalanan menghala ke Kelantan.
“Lori tanpa muatan dipandu Khairul Izham bersama kelindan berusia 21 tahun itu pula sedang menghala ke Gerik.
“Pemandu lori ikan yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa kedua meninggal dunia semasa didawa ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Bomba menggunakan peralatan kecemasan untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit.
Sebaik diselamatkan, kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Tambahnya, mayat mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
Operasi yang diketuai PBK II Mohd Nizam Zakaria itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.59 malam.