fbpx

Dua beranak cuba seludup PATI ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta yang digunakan dua beranak untuk membawa dua PATI ke sempadan negara dirampas dalam sekatan jalan raya di Baling semalam.

Oleh NORLIA RAMLI

BALING – Cubaan dua beranak untuk menyeludup dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ke Thailand gagal apabila mereka ditahan dalam satu sekatan jalan raya Op Benteng di Jalan Tanjung Pari di sini semalam.

Dua beranak berusia 26 dan 54 tahun ditahan selepas didapati membawa dua lelaki Myanmar menggunakan kereta jenis Perodua Bezza kira-kira pukul 7.25 malam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, kesemua suspek dalam perjalanan dari Kepong, Kuala Lumpur menghala Kampung Lamdin di Kuala Nerang dekat sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki Myanmar berusia 20 dan 33 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan awal, pemandu kereta terbabit dengan ditemani bapanya menggunakan kenderaan sendiri sebagai kereta sapu untuk menghantar dua PATI itu ke Kampung Lamdin dengan upah RM500 bagi setiap penumpang.

“Pemandu mendakwa dia tidak mengetahui tujuan dua lelaki Myanmar ke kampung tersebut dan dipercayai ada individu lain yang akan mengambil mereka untuk dibawa ke sempadan Malaysia-Thailand,” ujarnya.

Menurut Syed Basri, dua beranak itu ditahan selama 28 hari mulai hari ini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

“Pemandu kereta bekerja sebagai pengurus sebuah pasar raya besar manakala bapanya peniaga kedai makan yang mana mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain negatif dadah,” katanya.

Tambahnya, dua PATI itu pula ditahan selama 14 hari mulai hari ini dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI