fbpx

Warga emas, cucu terselamat dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustaffa Ahmad (kanan) dan isterinya, Che Wan Ramli melihat keadaan rumah dan kereta yang terbakar di Kampung Kongsi Enam, Bedong hari ini.

SUNGAI PETANI – Sepasang warga emas dan tiga cucu nyaris terperangkap dalam kejadian kebakaran dua buah rumah di Kampung Kongsi Enam, Bedong dekat sini lewat tengah malam tadi.

Warga emas terbabit, Mustaffa Ahmad, 76, dan isterinya, Che Wan Ramli, 68, sempat mengejutkan tiga cucu berusia empat hingga 16 tahun yang sedang tidur ketika api mula marak kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Pada masa itu saya baru hendak tidur sebelum ternampak percikan api sebelum meminta isteri dan cucu-cucu supaya keluar menyelamatkan diri.

“Saya dan isteri serta tiga cucu bergegas keluar dari rumah sebelum api menjadi lebih marak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia kemudian mengejutkan anak lelakinya, Hussin, 51, dan menantu, Salina Osman, 53, yang tinggal bersebelahan.

“Saya minta mereka menyelamatkan diri kerana rumah mereka turut disambar api,” ujarnya.

Menurut Mustaffa, dua rumah tersebut dibina daripada papan dan terletak bersebelahan dengan jarak hanya dua meter antara satu sama lain.

“Saya bersyukur semua ahli keluarga terselamat dalam kebakaran itu dan kami ditempatkan sementara di Dewan UMNO Datuk Haji Arzmi Abdul Hamid di kampung ini,” katanya.

Selain itu, tambahnya, dua buah kereta iaitu Proton Waja dan Perodua Axia serta sebuah motosikal jenis Modenas Kriss milik anaknya turut terbakar.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Pegawai Bomba Kanan 2 Nordin Arshad memberitahu, seramai 14 anggotanya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 12.48 tengah malam dan berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 10 minit kemudian.

Kata beliau, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI