Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
TELUK INTAN – Pihak pentadbiran Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) di sini menafikan dakwaan ada pelajar sekolah itu positif Covid-19.
Pengetuanya, Zulkarnain Abd Kamal, berkata dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya ada pelajar sekolah itu disahkan dijangkiti Covid-19 adalah tidak benar.
“Untuk makluman, pelajar yang bergejala masih belum disahkan positif dan masih lagi dalam peringkat saringan,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Facebook rasmi sekolah berkenaan di sini hari ini.
Sebelum itu, terdapat dakwaan yang tular dalam media sosial satu kenyataan tertulis ‘kat Perak dah ada balik kes covid ni..bila dapat tahu sekolah SMART ada seorang jangkitan..allahu..risaunye’.
Oleh itu, Zulkarnain meminta semua pihak tidak menyebarkan berita palsu berkenaan sehingga menimbulkan keadaan panik.-K! ONLINE.