KUALA LUMPUR – Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil peluang daripada kecenderungan rakyat di negara ini yang suka berbelanja dengan menawarkan nilai terbaik kepada pengguna dalam suasana ekonomi mencabar.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Afzanizam Abdul Rashid berkata, sepanjang tempoh 22 tahun kebelakangan ini, perbelanjaan isi rumah di negara ini menunjukkan peningkatan pada purata 5.2 peratus setiap tahun.
Menurut beliau, berdasarkan kajian pihaknya, kecenderungan rakyat Malaysia berbelanja adalah antara yang tertinggi, hampir 60 peratus.
Ini berbanding pengguna di Korea Selatan pada 35.5 peratus, Thailand 44.7 peratus Indonesia 53.1 peratus.
“Ini bermakna daripada setiap RM1 pendapatan, 60 sen akan dibelanjakan.
“Jadi perkara yang perlu dilakukan PKS ialah melihat kembali penawaran nilai mereka dan berikan apa yang dikehendaki pengguna,” katanya pada sesi seminar web Bank Islam bertajuk PKS Pasca PKP semalam.
Sementara itu, Afzanizam menjelaskan, ekonomi negara kini semakin menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Tambah beliau, ini dapat dilihat melalui indeks pengeluaran industri yang menunjukkan lonjakan sebanyak 18.2 peratus pada bulan Mei berbanding April lalu.
“Kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara pada paras 3.5 peratus tahun depan dengan pertumbuhan PKS pada 4.5 peratus. Momentum ini dijangka berterusan pada 2022 dengan ekonomi negara bertumbuh 4.7 peratus manakala PKS berkembang 5.8 peratus.
“Malaysia memiliki potensi ekonomi yang tinggi dengan populasi muda, tenaga kerja berpendidikan dan aman daripada konflik. Platform telah tersedia untuk kejayaan dan PKS perlu ambil kesempatan,” katanya.