KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya dua buah kenderaan terkandas dalam banjir kilat yang berlaku di Jalan Cheras susulan hujan lebat di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian Mers 999 pada pukul 3.47 petang sebelum dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebanyak dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras bersama lapan anggota telah dikerahkan ke lokasi bagi membantu mangsa yang terkandas.
“Setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati sebuah lori satu tan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard telah terkandas di dalam air sedalam satu meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, anggota bertugas kemudiannya memberi bantuan menolak kenderaan yang terkandas ke kawasan selamat dengan bantuan pihak polis yang turut berada di lokasi.
Difahamkan, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.11 petang setelah air mulai surut.-K! ONLINE