KOTA KINABALU – Sebuah lokomotif berserta tiga unit treler penumpang merempuh sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dalam kemalangan di Lintasan Rata Awam (LRA) Kilometer (KM) 4.3, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian sekitar pukul 7.13 pagi itu.
Pengarah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS), Leonard Poyong berkata, lokomotif berkenaan menuju destinasi akhir terletak di Stesen Sembulan.
“Pemandu serta penolong pemandu lokomotif bertugas melaporkan kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda terbabit secara tiba-tiba memasuki kawasan landasan untuk melintasi kawasan kejadian semasa formasi perkhidmatan sedang menghampiri LRA.
“Dengan jarak kurang dua meter, pemandu tidak dapat menghentikan lokomotif berkenaan untuk mengelakkan kemalangan.
“Pemeriksaan awal mendapati walaupun palang tidak dapat diturunkan akibat masih dalam penyenggaraan, namun siren dan lampu isyarat di LRA didapati masih berfungsi dengan baik.
“Hon dan lampu utama pada lokomotif juga sudah dipasang sebagai salah satu langkah keselamatan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Dalam kenyataan sama, Leonard menyatakan pihak turut mengadakan mesyuarat khas bertujuan untuk mengatasi serta mengelak perkara sama berulang kembali.
Sementara itu, beliau berkata, JKNS juga akan mengambil tindakan susulan termasuklah melaksanakan sistem pemeriksaan dan penyenggaraan LRA yang lebih sistematik dan menambahbaik beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan pengendalian LRA selain penggunaan jenis lampu isyarat yang boleh memberi peringatan kepada pemandu kenderaan. – K! ONLINE