DENPASAR – Polis menahan seorang warga emas selepas wau miliknya terputus tali dan jatuh lalu menyebabkan stesen janakuasa milik syarikat pembekalan elektrik Indonesia, Perusahaan Listrik Negara (PLN) terbakar dan meletup, lapor media Indonesia.
Portal berita Kompas melaporkan insiden itu berlaku di stesen utama PLN Pesanggaran dan menyebabkan sebanyak 71,121 kediaman di Kuta, Denpasar Selatan dan Denpasar Timur terputus bekalan elektrik selama lima jam bermula kira-kira pukul 4.45 petang (waktu tempatan), Ahad lalu.
“Layang-layang besar terjatuh di stesen berkenaan dan menyebabkan kebakaran berlaku di tiga buah pencawang,” kata Ketua Pesuruhjaya Polis, Jansen Avitus Panjaitan dalam satu kenyataan.
Suspek dengan nama singkatan DKS, 50, bersama anaknya dilaporkan bermain wau pada ketinggian kira-kira 150 meter di kawasan tanah lapang Pelabuhan Benoa.
Dia kemudian mengikat tali wau pada sebatang pokok dan membiarkannya terbang di udara lalu pulang ke rumah. Bagaimanapun, tali wau terputus dan terjatuh di stesen milik PLN.
Suspek turut didakwa menyedari wau itu terputus tali tetapi tidak berusaha untuk mencarinya semula.
Portal Suara.com pula melaporkan wakil PLN berkunjung ke rumah suspek sekitar pukul 7 malam dan menjelaskan kejadian kebakaran itu. Warga emas itu mengaku bersalah dan ditahan polis.
Suspek akan didakwa bawah Artikel 188 Kanun Jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara satu bulan hingga lima tahun.
Jansen meminta penduduk tempatan di Denpasar dan kawasan sekeliling agar mengambil berat mengenai soal keselamatan semasa bermain layang-layang atau wau agar tidak membawa ancaman kepada orang ramai atau kemudahan milik kerajaan. – AGENSI