fbpx

Kastam pakai kamera badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh ATIKAH DALI dan SUHANA MD. YUSOP

PUTRAJAYA – Anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal dilengkapi dengan kamera badan pada tahun hadapan bagi menangani salah laku dalam kalangan pasukan beruniform tersebut.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Abd. Latif Abdul Kadir berkata, perkara itu telah diluluskan dan peralatan tersebut akan dibekalkan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di bahagian kritikal seperti di pintu masuk negara.

“Sekarang cadangan itu dalam proses perolehan dan dijangka digunakan pada tahun 2021.

“Peralatan tersebut akan dibekalkan kepada kakitangan Kastam yang bertugas di pintu sempadan di lapangan terbang dan darat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru ini.

 

ABD. LATIF

Menurut Abd. Latif, penggunaaan kamera badan bukan perkara baharu dalam kalangan pasukan penguat kuasa kerana telah dilaksanakan di negara-negara maju antaranya Australia dan Amerika Syarikat.

Pada tahun lalu, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti kastam, polis dan imigresen bagi menangani kes salah laku termasuk rasuah.

Cadangan penggunaan ka­mera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas termasuk memukul orang yang disiasat.

Mengulas lanjut, Abd. Latif memberitahu, kastam turut menubuhkan Unit Siasatan Dalaman JKDM pada Januari tahun lalu bagi menyiasat salah laku dalam kalangan anggota dan pegawainya.

“Kita tidak nafikan memang ada pegawai kastam yang terlibat (penyelewengan). Tumpuan unit tersebut adalah untuk menyiasat penyelewengan yang dilakukan oleh orang dalam dan ada antara mereka yang telah pun dituduh di mahkamah,” katanya.

Negara mengalami kebocoran hasil di pintu keluar masuk antara RM3 bilion hingga RM5 bilion pada setiap tahun akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI