fbpx

Ikrar alat ganti kereta rupanya kayu merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOHARI menunjukkan kayu merah atau 'red sandalwood' dari India yang cuba diseludup di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 17 Julai lepas.

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

DENGKIL – Taktik sindiket menyeludup kayu merah atau ‘red sandalwood’ dari India dengan mengikrarkannya sebagai karburetor dan ‘chamber’ gagal mengaburi mata pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sekali gus berjaya ditumpaskan dalam kejadian di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 17 Julai lepas.

Rampasan bagi kayu bernilai tinggi itu membabitkan anggaran 283 batang dengan berat kira-kira 8,000 kilogram (kg) serta nilai dagangan RM4.6 juta yang mana dagangan ini tidak tertakluk kepada duti cukai.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, rampasan kayu merah oleh Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) JKDM adalah susulan penahanan sebuah kontena 6.096 meter yang tiba pada 8 Julai lepas.

“Tiada pengikraran borang import (K1) dibuat pengimport ke atas dagangan tersebut dan pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan dan Daftar Muatan Kapal (K4) menunjukkan dagangan dalam kontena itu telah diikrarkan sebagai karburetor dan ‘chamber’.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dijalankan, pasukan telah menemui kayu merah dimuatkan di dalamnya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Johari berkata, dagangan ini tersenarai di bawah Appendix 2 Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa Dalam Spesies Terancam (CITES) yang mensyaratkan supaya pengeksport perlu mempunyai sijil dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara pengeksport.

“Dagangan ini juga tersenarai di bawah Jadual Ketiga kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang mana pengimportannya tertakluk kepada satu permit import dikeluarkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

“Bagi kegunaan kayu merah ini, kebiasaannya digunakan dalam perubatan tradisional dan herba. Rampasan ini juga adalah antara yang terbesar,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, siasatan ke atas syarikat pengimport sedang giat dijalankan dan dalang di sebalik sindiket ini sedang dikesan manakala kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana disyaki melakukan kesalahan terlibat dalam mengimport barang larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI