BESUT – Perbuatan kejam seorang buruh pada minggu lalu sanggup menetak seekor lembu yang sepatutnya dikorbankan pada Aidiladha tidak lama lagi berbalas apabila dia didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Wan Azimah Yaacob memerintahkan Adnan Muhammad, 37, menjalani hukuman penjara tambahan 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menetak seekor lembu jantan dengan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah pada bahagian ekor, punggung dan kepala haiwan berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan demikian di tepi sebuah kandang lembu milik sepupu lelakinya berusia 56 tahun di Kampung Gerai Muda, Jerteh di sini pada pukul 6 pagi, 21 Julai lalu.
Adnan didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Veterinar, Mohd. Shahihan Mohd. Tahar manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – K! ONLINE