KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mengumumkan pelantikan dua ahli Lembaga Pengarah yang baharu iaitu Datin Norhamizah Mat Tahir dan Mohd Jafri Kudus berkuat kuasa 13 Julai lalu.
Pelantikan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman serta kepimpinan mereka dalam bidang keusahawanan dan teknologi yang dijangka memberi nilai tambah bagi memacu bank mencapai hasrat yang diaspirasikan dalam pelan jangka panjangnya iaitu Bank Rakyat 2025.
“Kami mengalu-alukan penyertaan dua ahli lembaga pengarah baharu ini untuk bersama-sama menerajui bank menerusi pengalaman yang dimiliki bagi meneruskan legasi kecemerlangannya sebagai bank koperasi Islam terbesar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Norhamizah adalah usahawan wanita yang berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak 16 tahun lalu dan kini memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Norhamizah Tahir Associate Sdn. Bhd.
Mohd. Jafri yang berpengalaman luas lebih dari 30 tahun dalam industri teknologi dan telekomunikasi merupakan Pengarah Eksekutif di Strovi Dox Sdn. Bhd. serta Perunding Pembangunan Perniagaan di Antah SNC Homeland Security Sdn. Bhd.