fbpx

Anjing ‘sado’ buat hal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Taman permainan menjadi tempat anjing liar berkumpul sehingga mengancam keselamatan kanak-kanak yang bermain di kawasan berkenaan.

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Majlis Bandaraya Seremban (MBS)  diminta mengambil tindakan berhubung masalah anjing liar yang berkeliaran  sehingga mengancam keselamatan penduduk di Taman Matahari Indah, Senawang di sini.

Dakwa penduduk, terdapat banyak kes kanak-kanak dikejar anjing dengan tiga kes gigitan dilaporkan dalam tempoh setahun dan terbaharu berlaku, kelmarin apabila seorang kanak-kanak empat tahun cedera digigit anjing di taman permainan.

Seorang penduduk taman perumahan tersebut, Ahmad Zaini Baharun, 53, berkata, terdapat kira-kira 18 ekor anjing yang dilihat sering berkeliaran di taman permainan kanak-kanak, rumah kosong dan lorong kediaman penduduk.

“Anjing-anjing tersebut berkeliaran dan tidur di taman permainan kanak-kanak, rumah kosong, tangki air, kolam takungan dan lorong kediaman penduduk.

“Kami lihat anjing-anjing itu agak garang dan akan menyerang kanak-kanak terutamanya pada waktu haiwan tersebut mengawan,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Jelas Ahmad Zaini lagi, penduduk kerap membuat aduan kepada pihak berkuasa namun sebilangan kecil sahaja anjing-anjing yang dapat ditangkap.

“Saiz anjing tersebut juga agak ‘sado’ dan terdapat gelang di leher dipercayai adalah anjing peliharaan dan sering bergerak dari satu taman ke taman yang lain untuk satu tempoh tertentu.

“Kami ada membuat aduan kepada pihak berkuasa namun hanya ada tangkapan kecil dan seringkali pihak terbabit pulang dengan tangan kosong seolah-olah anjing ini dapat menghidu kedatangan anggota penguatkuasa,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Zazali Salehudin ketika dihubungi berkata, pihaknya telah melantik dua kontraktor bagi menjalankan operasi menangkap anjing yang berkeliaran di kawasan awam.

“Kontraktor ini menjalankan operasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat mengikut kawasan yang telah ditetapkan bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Sehingga kini, jumlah tangkapan dikawasan Taman Matahari Indah dan sekitarnya bagi tahun ini adalah 12 ekor. Pihak kami telah menerima 16 aduan daripada penduduk kawasan berkenaan berhubung anjing liar bagi tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zazali turut menasihatkan penduduk untuk sentiasa mengamalkan kebersihan kerana antara faktor kehadiran anjing liar adalah untuk mencari sisa-sisa makanan.

“Penduduk yang memelihara anjing juga dinasihatkan untuk mengambil lesen dan mematuhi syarat yang telah ditetapkan seperti tidak melepaskan anjing ditempat awam tanpa kawalan,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI