Oleh ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU – Seramai 17 orang termasuk empat wanita ditahan ketika sedang asyik berhibur dalam keadaan khayal dipercayai pil ekstasi dalam satu serbuan polis di sebuah rumah inap desa di Kubang Kerian di sini awal pagi tadi.
Dalam serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada pukul 3.15 pagi itu, kesemua suspek yang berusia antara 18 hingga 35 tahun yang terdiri daripada golongan penganggur sedang mendengar muzik yang kuat di dalam rumah berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, sewaktu serbuan, keempat-empat suspek wanita sedang berhibur dengan hanya memakai baju tidur manakala 13 lelaki pula memakai singlet dan berseluar jean.
Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemui 600 biji pil ekstasi yang bernilai RM18,000 yang dipercayai dijual dalam kalangan mereka sewaktu berhibur di dalam rumah itu.
“Rampasan pil ekstasi dalam kes ini merupakan yang terbesar di Kelantan. Kita menjumpai kesemua pil tersebut yang berwarna kuning dan hijau di dalam bungkusan plastik syarikat kurier yang disimpan di dalam almari di sebuah bilik.
“Siasatan juga mendapati, rumah disewa oleh seorang suspek lelaki berusia 27 tahun. Sebelum mengadakan parti liar itu, mereka mengadakan jamuan barbeku di luar rumah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Menurut Abdullah,kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala lapan daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
Jelasnya, hasil siasatan terhadap kesemua suspek mendapati mereka memperoleh bekalan pil ekstasi itu dari Klang, dua kali sebulan.
“Kita tidak menolak kemungkinan kegiatan mereka itu boleh menjerumus kepada unsur seks jika tiada tindakan awal diambil.
“Ada antara suspek yang baru mencuba menggunakan pil tersebut sewaktu berada dalam parti itu. Selain itu, pil tersebut juga dijual pada harga RM30 sebiji kepada peserta parti,” katanya.
Jelasnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan.-K! ONLINE.