JAKARTA – Seorang jurusolek artis bernama Ari Izam menjadi popular di laman sosial selepas mempamerkan kemahiran menyolek seorang warga emas berusia 60 tahun sehingga wanita itu kelihatan seperti gadis remaja.
Menurut laman berita Suara.com, Ari berkata, dia telah diminta oleh peminatnya untuk menyolek seorang wanita yang sudah berusia supaya nampak awet muda menerusi akaun Instagram dan YouTube miliknya
“Salah satu teknik solekan yang saya gunakan ialah menggunakan gam kertas bebas toksik untuk menutup tekstur kening model saya ini.
“Saya juga menggunakan gel Vaseline untuk mengelak kulit muka menjadi kering sebelum menyapu beberapa jenis krim asas untuk menutup kedutan pada wajahnya,” kata Ari.
Bagaimanapun, jelas Ari, dia tidak menggunakan teknik penyerlah (highlighter) dan kontur secara berlebihan bagi mengelak wajah wanita itu kelihatan lebih tua.
Melihat hasil solekan pada warga emas yang tidak didedahkan identitinya itu, ramai pengguna laman sosial memuji kebolehan Ari dalam seni mekap.
“Kalau begini hasilnya, saya juga ingin mengubah penampilan nenek saya,” kata seorang pengguna laman sosial.
Seorang pengguna laman sosial lain berkata, dia menonton video solekan tersebut berulang kali di YouTube, tetapi tetap terpukau dengan hasil kerja Ari. – Agensi