MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri mengeluarkan sebanyak 93 kompaun dan 26 Notis Arahan terhadap premis kilang sepanjang Sungai Selangkah di Pasir Gudang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata, tindakan tersebut diambil susulan Ops Gempur yang dibuat pada 6 hingga 8 Julai lalu dengan melakukan 85 pemeriksaan dan dua penahanan kelengkapan operasi.
Operasi selama tiga hari yang melibatkan 42 anggota penguatkuasa daripada JAS Johor Bahru dan pejabat JAS cawangan ekoran aduan bau yang kuat sehingga pedih mata dan sesak nafas oleh penduduk yang tinggal berhampiran kawasan tersebut.
Vidya berkata, pasukan penyiasat JAS tiba di lokasi aduan di Sungai Selangkah (jambatan Jalan Utama, Jalan Seluang, Taman Tg Puteri Resort) dan mendapati keadaan sungai adalah berminyak (Oil shine) dan air sungai jernih, pada 25 Jun lalu.
Jelasnya, hasil pemantauan mendapati sekitar sungai ada bau minyak dan cat namun penyusuran sungai dan belukar telah dibuat tidak menemui punca bai tersebut.
“Satu botol sampel air sungai sudah diambil untuk dianalisa. Bagi tujuan pengawasan kualiti alam sekitar, persampelan udara dilakukan pada 25, 26 dan 27 Jun lalu.
“Hasil keputusan persampelan menggunakan Disorbtion tube yang dijalankan pada 26 Jun 2020 dan 27 Jun lalu menunjukkan semua kepekatan gas toksik yang dicerap seperti propene, methyl alcohol, butane-2 methyl, oxalic acid, 2-butene, 2-methyl, benzene, trichloroethylene, ethene, acetic acid, p-xylene, mesitylene dan tetradecane tidak melebihi tahap toksisiti OSHA PEL yang disyorkan”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Vidyananthan berkata, JAS akan terus meningkatkan penguatkuasaan ke atas premis
industri dan mengadakan operasi seperti ini secara berterusan.- K! ONLINE.