RIYADH – Ibadat haji tahun ini yang dikecilkan skalanya secara dramatik berikutan pandemik koronavirus hanya akan melibatkan kira-kira 1,000 orang dengan jemaah mula bergerak ke Padang Arafah pada 29 Julai ini, kata pihak berkuasa Arab Saudi kelmarin.
Pada kebiasaannya, sekitar 2.5 juta orang Islam mengerjakan ibadat tersebut di kota suci Mekah setiap tahun.
“Wukuf di Arafah iaitu kemuncak ibadat haji jatuh pada hari Khamis (30 Julai),” agensi berita rasmi Saudi Press memetik Mahkamah Agung sebagai berkata, menandakan jemaah haji akan bergerak ke Padang Arafah pada Rabu minggu depan.
Tarikh ibadat haji diputuskan dengan melihat anak bulan berpandukan kalendar Islam.
Pada bulan lalu, Arab Saudi mengumumkan akan menganjurkan ‘haji terhad’. Keputusan itu dibuat ketika Riyadh bergelut untuk mengekang peningkatan domestik jangkitan koronavirus.
Arab Saudi merekodkan kirakira 253,349 kes Covid-19 setakat ini termasuk 2,523 kematian sekali gus tertinggi di Teluk.
Ibadat haji dan umrah biasanya menjana pendapatan sekitar AS$12 bilion (RM51 bilion) kepada Riyadh setiap tahun.
Walaupun pihak berkuasa berkata, ibadat haji kali ini terhad kepada 1,000 orang yang sudah berada di Arab Saudi, 70 peratus daripada mereka terdiri daripada warga asing, manakala menurut beberapa akhbar, 10,000 jemaah mungkin dibenarkan mengerjakan haji.
Baki 30 peratus lagi jemaah terdiri daripada rakyat Arab Saudi dan terhad kepada kalangan profesional perubatan serta anggota keselamatan yangsembuh daripada virus Covid-19, kata Kementerian Haji.
Keputusan tidak membenarkan jemaah haji dari luar Arab Saudi adalah yang pertama dalam sejarah moden negara itu dan mencetuskan kekecewaan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Namun demikian, ramai yang akur dan berpendapat keputusan itu perlu berikutan pandemik koronavirus. – AFP