fbpx

Budak depresi jadi penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YONNYBOII

MENJADI mangsa buli sejak kecil membuatkan penyanyi Yonnyboii mengalami depresi dalam hidupnya. Dia kemudian menemui jalan untuk berkongsi segala perasaannya menerusi penghasilan lagu.

Masih segar dalam ingatannya semua kisah sadis yang pernah dilalui ketika masih kanak-kanak. Pada usia sebegitu, kehidupannya sepatutnya diwarnai gelak tawa dan keriangan bermain bersama rakan-rakan sebaya. Sebaliknya, pelangi zaman tersebut bersimbah gerhana apabila menjadi mangsa buli rakan sebaya seawal usia enam tahun – usia yang masih belum mengerti apa itu makna kehidupan.

Puncanya tidak masuk akal, hanya kerana berkelakuan pelik dan berbeza daripada orang sekeliling, lalu dia dijadikan sasaran lemah oleh si pembuli. Sangkalnya, memori hitam pantas menemui titik noktah. Namun sebaliknya berlaku apabila tragedi buli masih mengejar bayangnya dan menjadi rentetan derita sehinggalah menginjak remaja. Itu sedikit introduksi perjalanan hidup penyanyi dan komposer muda berbakat besar Yonnyboii yang sebelum ini pernah berlumur sengsara.

 

Sebelum Kelabu, single Sakit gabungan bersama Zaynakal kini meraih tontonan lebih 30 juta dalam YouTube.

“Akibat kerap dibuli, saya pernah ponteng sekolah. Orang tidak tahu, saya ponteng bukan sebab malas belajar tetapi kerana mahu mengelak daripada dibuli. Lain orang, lain cara untuk menangani masalah buli.

“Kesannya sangat mendalam sehingga membuatkan saya mengalami depresi. Banyak kali terlintas dalam kepala, apa rasanya kalau saya terjun dari tingkap? Cuma pada waktu itu, saya masih kecil dan tidak faham makna di sebalik perasaan tersebut.

“Kewujudan depresi pun saya tidak tahu lagi pada waktu itu sebab masyarakat kita kurang didedahkan tentang kesedaran masalah kesihatan mental,” katanya membuka cerita baru-baru ini.
Imbas pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu lagi, dia melalui fasa sukar kerana pernah dibuli dari segi mental dan fizikal.

“Saya masih ingat, antara buli yang saya pernah lalui ialah diejek kepala tabung. Di kepala saya masih ada kesan parut akibat pernah terlibat dalam kemalangan ketika berusia 12 tahun.
“Tetapi ada yang lebih teruk. Pernah kawan-kawan tuduh saya ambil pil kuda sebab hiperaktif. Sedangkan segala tingkah laku begitu berlaku kerana saya penghidap penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif,” jelasnya.

 

Yonnyboii pernah dituduh mengambil pil kuda kerana hiperaktif.

 

Introvert

Mengakui sukar mencari tempat untuk meluah perasaan termasuk keluarga sendiri, penyanyi berusia 22 tahun itu berusaha menggali sendiri jalan keluar.
Ditambah pula dengan keperibadiannya yang introvert, gemar menyendiri dan terasing daripada orang ramai, Yonnyboii mengemudi setiap perasaan yang ada dalam hatinya ke arah penulisan lagu.

“Perasaan saya kosong, jadi untuk isi ruang itu saya cari alternatif dengan meluahkannya menerusi penulisan lagu. Saya tulis lagu berdasarkan perasaan yang dialami. Lagu yang saya tulis ibarat diari.
“Tetapi saya rasa tidak puas. Saya ambil keputusan kongsikan lagu-lagu yang dicipta menerusi YouTube. Pada waktu itu ada 20 orang sahaja yang mendengar, tetapi saya tetap hargai dan berasa bangga,” ujarnya yang mula menulis lagu sejak berusia 13 tahun.

Salah sebuah lagu yang merupakan terjemahan daripada isi hati Yonnyboii ialah single berjudul Kelabu yang mempertaruhkan gandingannya bersama penyanyi Azlan Typewriter. Lagu berkenaan baru sahaja dilancarkan.

“Sebenarnya sudah lama lagu ini dikeluarkan tetapi apabila difikirkan, daripada terbiar begitu sahaja lebih baik dirakamkan semula sebagai sebuah lagu arus perdana.
“Lagu ini antara luahan hati saya kerana menjadi mangsa buli. Harapan saya agar masyarakat sedar bahawa kes buli memberi kesan bahaya kepada seseorang terutama dari segi kesihatan mental,” ujarnya sambil menambah proses rakaman lagu tersebut dilakukan pada April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa secara berasingan di rumah masing-masing.

Sejak dilancarkan lebih tiga minggu, lagu berkenaan sudah mencapai lebih 300,000 tontonan dalam YouTube.

 

Yonnyboii berkolaborasi dengan Lan Typewriter menerusi lagu berjudul Kelabu.

 

Antarabangsa

Pembawaan diri, genre lagu dan perjuangan muzik Yonnyboii mendapat perhatian peminat. Dia disifatkan ramai boleh pergi jauh dalam industri. Tidak sekadar dalam negara, peminat menilai bakat dan karya nukilan Yonnyboii layak untuk dibawa ke persada antarabangsa. “Sejujurnya itu memang cita-cita dan sasaran saya. Sebelum banyak buat lagu Melayu, saya memang cipta lagu Inggeris. Inspirasi saya dalam industri dan muzik ialah Yuna, saya mahu jadi seperti dia.

“Tetapi jika difikirkan semula, Yuna sendiri bermula dengan industri lokal. Jadi saya mengikut atur langkahnya dengan menjadikan industri tempatan sebagai permulaan sebelum mengatur strategi untuk ke persada luar,” jelasnya.

Berkongsi sedikit perkembangan terkini, anak kelahiran negeri Perak itu berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album perdananya yang dijangka menemui peminat pada awal tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI