Oleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH – Bekalan lembu untuk ibadat korban dijamin mencukupi untuk keperluan umat Islam di seluruh negara tanpa perlu bergantung kepada ternakan import.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, meskipun tiada jumlah khusus mengenai bilangan haiwan ternakan itu, beliau yakin ia mampu menampung permintaan masyarakat untuk menjalan ibadah sempena Hari Raya Aidiladha.
Jelasnya, urus niaga setempat melalui penternakan secara kecil- kecilan dalam kalangan petani banyak membantu menampung keperluan lembu menjelang musim perayaan tahun ini.
“Rakyat memahami keadaan sekarang dan menghargai usaha kerajaan mengekang penularan penyakit dengan pelbagai pendekatan termasuk tiada bekalan lembu dari negara jiran yang berdekatan.
“Penternakan haiwan ternakan terutama lembu dan kambing oleh petani setempat mencukupi permintaan bagi menyempurnakan ibadah korban dan keperluan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Petani Jajahan Pasir Puteh di Cherang Rotan di sini semalam.
Menurut Che Abdullah, petani juga perlu mematuhi operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan memberi keutamaan terhadap kesihatan diri masing-masing.
Katanya, pematuhan jarak sosial dan menggunakan pelitup muka perlu menjadi amalan terutama ketika berurus niaga di pasar-pasar tani. – K! ONLINE.