Oleh NUR AMALINA AZMAN
LANGKAWI – Seorang wanita berusia 32 tahun ditemui tergantung pada besi katil dua tingkat di sebuah inap desa di Jalan Kampung Bayas di sini semalam.
Mangsa ditemui oleh pekerja inap desa tersebut yang masuk ke bilik disewa mangsa dengan kunci pendua kira-kira pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pemeriksaan menemui satu mayat wanita tergantung menggunakan kain cadar pada besi katil dua tingkat.
“Siasatan yang dilakukan di tempat kejadian dan mayat mangsa mendapat tiada unsur jenayah terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, mayat dibawa ke Hospital Sultanah Maliha di sini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Wanita terbabit mendaftar ke inap desa itu seorang diri pada Sabtu lalu,” ujarnya. – K! ONLINE