Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
MELAKA – “Kami tidak pernah berasa malu menjual karpet dengan menunggang motosikal kapcai malah bangga kerana berusaha mencari rezeki halal dengan cara sebegini.”
Demikian reaksi Norzahiah Mohd. Noor, 31, ketika mengulas videonya dan suami berdurasi 15 saat tular di laman sosial Facebook ketika menghantar dua gulung karpet menaiki motosikal jenis Modenas Kriss sejauh kira-kira 14 kilometer dari Johor ke Melaka.
Ibu kepada tiga anak berusia lima, lapan dan sembilan tahun itu berkata, ketika itu, dia dan suaminya, Pahmi Muhamed, 31, sedang dalam perjalanan menghantar karpet dari rumahnya di Kampung Padang Lerek, Tangkak, Johor ke rumah pelanggan di Simpang Bekoh, Asahan, Melaka.
“Saya rakam video berkenaan sebagai kenangan bersama suami tapi tak sangka pula menjadi tular dan memberi inspirasi kepada orang lain. Setiap rezeki yang datang banyak atau sikit tak elok ditolak selagi kami mampu melakukannya.
“Semua itu dilakukan demi mencari rezeki halal setelah suami yang bekerja sebagai mekanik diberhentikan kerja pada Mac lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Norzahiah berkata, selepas hilang satu-satunya punca pendapatan mereka berdua melakukan pelbagai pekerjaan menggunakan motosikal peninggalan arwah ayah kerana kereta suami rosak sejak empat tahun lalu.
“Sejak menjual karpet dua minggu lalu, kami tidak mengenakan sebarang bayaran atau caj penghantaran walaupun ada yang jaraknya melebihi 20 kilometer.
“Walaupun menjalani kehidupan susah kami tidak tergamak mahu mengenakan caj penghantaran kepada pelanggan. Alhamdulillah rezeki kami tak pernah putus, rezeki tetap cukup selagi kita ikhlas dan terus berusaha,” tambahnya.