Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Bunyi mengiau tidak henti-henti seekor kucing betina jalanan sejak awal pagi rupa-rupanya minta dibantu kerana salah seekor anaknya terjatuh ke dalam lubang sesalur najis.
Bagaimanapun, kesukaran untuk mengeluarkan haiwan malang tersebut menyebabkan khidmat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dipanggil dalam kejadian yang berlaku di Taman Pengkalan Jaya di sini hari ini.
Anggota APM Ipoh, Koperal Ahmad Zaidi Alif berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 4 petang.
Katanya, dia bersama dua anggota bergegas ke lokasi dan mendapati seekor anak kucing berada di dalam lubang sesalur najis sebuah rumah tidak berpenghuni.
“Saya bertindak menyuluh lubang berkenaan bagi menyelamatkan anak kucing dengan menggunakan batang pengait plastik bersama seutas tali.
“Sebaik diangkat keluar, saya terus meletakkan anak kucing itu di atas jalan bersebelahan ibunya yang mengiau-ngiau seperti mengucapkan terima kasih,” katanya.
Sementara itu, pengadu, Maria Ahmad, 41, memberitahu, ibu kucing itu dipercayai meletakkan empat ekor anaknya di atas sekeping papan pada lubang tersebut sebelum seekor daripada terjatuh.
Dia yang mulanya tidak menghiraukan bunyi bising ibu kucing sejak awal pagi mula hairan apabila haiwan itu tidak henti-henti mengiau sambil mundar-mandir di belakang rumah berkenaan.
“Apabila diperiksa, rupa-rupanya salah seekor anak kucinhg itu terjatuh ke dalam lubang sesalur najis lalu suami bertindak menghubungi talian kecemasan,” ujarnya. – K! ONLINE