KUALA LUMPUR – Pelakon Rebecca Nur Al-Islam dimasukkan ke hospital selepas mengalami tekanan darah rendah dan sakit ringan pada bahagian paru-parunya.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri Rebecca, 34, yang memuat naik beberapa keping gambar dan videonya berada di dalam wad menerusi Instagram, semalam.
“Kelmarin saya tiba-tiba pengsan selepas solat Isyak. Mujurlah suami bertindak cepat menghantar saya ke hospital.
“Terima kasih kepada yang mendoakan saya. Tiada yang serius, cuma tekanan darah rendah dan masalah ringan pada bahagian paru-paru,” katanya.
Pelakon drama Dejavu di Kinabalu itu berkata, buat masa ini doktor menyarankannya mendapatkan rehat yang banyak.
“Minta maaf saya tidak menjawab panggilan semua. Doktor minta saya berehat. Insya-Allah tiada yang serius,” ujarnya lagi. K!ONLINE