Oleh NOR AZIHAN MD GHAZALI
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif air sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menaikkan tarif air sepanjang tempoh itu.
“Kita memang tiada hasrat untuk naikkan tarif air sepanjang Covid-19. Itu memang tujuan kita.
“Hasilnya kita kena bincang sebab sustainbility pengurusan air itu bukan Selangor sahaja tapi semua negeri bergantung kepada tarif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) di Lobi SUK Selangor di sini hari ini.
Turut hadir Exco Pembangunan Generasi Belia & Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman dan Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi.
Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan, selain Selangor terdapat beberapa negeri lain yang tidak menaikkan tarif air sehingga tempoh 30 tahun.
“Ini termasuk Pahang dan Perlis yang telah 30 tahun (tarif air) tidak naik. Akhirnya, membebankan kepada pengguna apabila perkhidmatan itu tidak dapat disalurkan dengan baik,” katanya. – K! ONLINE