Oleh NORADILA MAHAMAD
KUALA TERENGGANU – Seramai 25,000 Orang Bekerja Sendiri (OBS) di negeri ini di sasar berdaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Program Dana Padanan Caruman Ekonomi Gig Platform (PenjanaGig) menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Faridah Che Husin berkata, sehingga kini lebih 10 peratus daripada pekerja yang terlibat dalam aktiviti ekonomi Gig di negeri ini telah mencarum.
“Saya yakin dengan adanya kerjasama baik antara Perkeso bersama kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), sasaran 25,000 OBS mencarum dapat direalisasikan.
“Caruman ini membantu rakyat supaya keselamatan, kebajikan sosial dan tanggungan di bawah mereka terjamin sekiranya berlaku sebarang bentuk kemalangan yang tidak diingini,” katanya selepas menghadiri majlis Penjana: Perlindungan Sosial dan Latihan Gig Ekonomi di Pusat Dagangan Terengganu di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Faridah memberitahu, sekurang-kurangnya 150 pekerja penghantaran Food Panda di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mencarum SKSPS, Perkeso di bawah pelan dua iaitu RM232.80 bagi tempoh perlindungan setahun.
“Bagaimanapun, sebanyak 70 peratus bayaran caruman di sumbang kerajaan dan hanya 30 peratus ditanggung platform penyedia perkhidmatan (pekerja penghantaran Food Panda).
“Mereka hanya perlu mencarum hanya 30 peratus sahaja iaitu sebanyak RM69.80 setahun dan mereka akan terus dilindungi,” katanya. – K! ONLINE