Oleh NOR AZIHAN MD. GHAZALI
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan pemimpin PH terlibat dalam perbuatan menconteng lukisan mural potret pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini kelmarin.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor menegaskan dakyah yang disebarkan itu adalah persepsi yang dibuat untuk menyalahkan pihak lain.
“Tuduhan itu sangat serius dan tidak tepat. Semua pemimpin dalam PH, termasuk di peringkat nasional menunjukkan komitmen yang sama serta mengecam tindakan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) di Lobi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini hari ini.
Sebanyak empat mural gergasi memaparkan potret Al-Sultan Abdullah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu disedari diconteng kira-kira pukul 8 pagi semalam.
Mengulas lanjut, beliau menyarankan tiga pelukis berkenaan mencari lokasi lebih sesuai dalam meneruskan minat mereka melukis mural dinding bangunan.
“Mereka harus cari tempat yang sesuai. Kalau kita nak cari, kita akan cari tempat yang sesuai agar kejadian sama tidak berulang.
“Lagipun ini bukan kali pertama lorong belakang dilukis dengan mural,” katanya. – K! ONLINE