Oleh MOHD. HUSNI BIN MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup rokok kretek dan putih dianggarkan bernilai RM37.3 juta dari Januari sehingga Jun lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, nilai itu membabitkan rampasan 456 juta batang rokok daripada 804 kes penyeludupan.
Menurut beliau, kes tersebut menunjukkan aktiviti penyeludupan dadah dan rokok tetap aktif sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
“Ketika fasa pertama PKP antara Mac hingga Mei, kami mengesan banyak kegiatan penyeludupan rokok dan mendapati ia tidak pernah berkurangan. Mereka (sindiket) tidak duduk diam dan tetap menyeludup seperti biasa.
“Sepanjang tempoh itu, kami turut merampas kontena berisi rokok selain rampasan dalam bentuk runcit yang dibawa menerusi lori kecil dan kenderaan lain,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Abdul Latif menyempurnakan majlis pelancaran 12 kenderaan orang kena tuduh (OKT) di pekarangan Ibu Pejabat JKDM di sini.
Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, pihaknya membanteras lebih 115 kes penyeludupan dadah sepanjang Januari hingga Jun lalu yang kebanyakannya menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pintu masuk.
Jelas beliau, tangkapan tersebut tidak termasuk kes yang dikesan di Tuaran, Sandakan dan Kota Kinabalu serta pintu masuk lain di seluruh negara.
“Berdasarkan rekod, sebanyak sembilan kes penyeludupan dadah melalui kurier dikesan di KLIA dalam tempoh 15 hari. Kami juga tidak nafikan trend penyeludupan dadah melalui kurier juga semakin meningkat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya memerlukan kemudahan alat pengimbas yang lebih baik dan berkualiti untuk membantu memudahkan aktiviti penguatkuasaan.
“Tanpa alat bantu seperti ini sukar untuk kita mengesan secara lebih cekap aktiviti penyeludupan dadah di negara ini,” katanya.
Selain itu, katanya, bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, pihaknya mematahkan 260 kes penyeludupan minuman keras dan bir dengan anggaran rampasan sebanyak 739,942 liter bernilai hampir RM5.3 juta. -K! ONLINE