Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
SEGAMAT – Menggunakan penyakar besi untuk memecah masuk kedai makan sebelum melarikan tabung serta wang tunai serta rokok.
Itu kegiatan licik seorang lelaki berusia 30 tahun melakukan jenayah yang menyasarkan premis yang ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perbuatannya terbongkar selepas dia diberkas sepasukan anggota polis di rumahnya di Buloh Kasap di sini kira-kira pukul 5 petang pada 17 Julai lalu.
Menurut sumber polis, lelaki itu dikesan selepas polis meneliti rakam kamera litar tertutup (CCTV) yang di pasang di premis yang dipecah masuk terletak di Bandar Utama di sini.
“Kejadian itu disedari pemilik premis yang baru sahaja mahu buka kedai makan selepas ditutup ekoran PKP sebelum mendapati tabung serta wang tunai serta rokok hilang.
“Selepas kita teliti, polis dapati kegiatan itu dilakukan seorang lelaki yang menggunakan penyakar besi (penyapu) untuk membuka pintu atau tingkap kedai sebelum melarikan barangan berharga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sumber itu berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah melakukan kecurian ke atas empat buah premis kedai makan dan melakukan kegiatan itu antara pukul 2 hingga 5 pagi.
Katanya, polis menemui semula dua tabung yang dicuri suspek ketika melakukan jenayah terbabit dan pemilik kedai mengalami kerugian kira-kira RM1,000.
Menurut sumber, suspek ditahan reman selama empat hari berakhir hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah kedai. – K! ONLINE