KANGAR – Seorang duda yang terlibat dalam kemalangan dengan anggota polis pengiring Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada 11 Julai lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Zaidi Baharom, 43, berhadapan dengan pertuduhan membawa parang di Mahkamah Sesyen dan empat pertuduhan membabitkan kes memiliki ketum, memandu di bawah pengaruh dadah, menghalang tugas penjawat awam dan memiliki dadah di Mahkamah Majistret.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ainul Shahrin Mohamad dan Majistret, Kamaliza Md. Zain.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa membawa sebilah parang di dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero di jalan kampung Felda Mata Ayer berhampiran Jalan Kangar – Padang Besar, Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 12.53 tengah hari, 11 Julai lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Zaidi yang bekerja sebagai buruh dituduh memiliki sebanyak 570 kilogram (kg) daun ketum dan pendakwaan bagi kes itu dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Tertuduh didakwa dengan dua pertuduhan lagi iaitu memandu kenderaan pacuan empat roda di bawah pengaruh dadah sehingga berlaku kemalangan yang mengakibatkan dua anggota polis pengiring cedera serta menghalang tugas penjawat awam.
Pendakwaan bagi dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Dia turut didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.88 gram dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh pada tarikh dan lokasi yang sama seperti pertuduhan di Mahkamah Sesyen.-K! ONLINE
-habis