Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Kerajaan memerlukan peruntukan lebih RM50 juta bagi membina semula 11 buah jambatan kayu yang runtuh akibat hujan lebat di kawasan pedalaman Orang Asli daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, proses memulihkan jalan perhubungan masyarakat Orang Asli tidak boleh dibiarkan tertangguh begitu lama walaupun melibatkan kos yang besar.
Katanya, setiap tahun masyarakat Orang Asli terdedah dengan pelbagai risiko apabila jalan menjadi lumpur dan jambatan kayu akan runtuh akibat hujan lebat.
“Bagaimanapun, kejadian pada tahun ini paling teruk apabila jambatan runtuh secara serentak menyebabkan 7,000 Orang Asli di lima buah pos terputus hubungan untuk ke bandar.
“Antara jambatan kayu yang runtuh itu ialah di Jalan Kuala Betis dan Pos Hendrop, Jalan Pos Tohoi dan Jalan Pos Bihai ke Pos Belatim ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Semalam, akhbar Kosmo! hari ini melaporkan kehidupan harian bagi lebih 7,000 penduduk Orang Asli sekitar lima pos terjejas teruk apabila mereka terkandas selepas jalan berhubungan terputus.
Kejadian itu hujan lebat sejak seminggu lalu itu turut menyebabkan berlaku banjir lumpur dan bukit runtuh.
Sementara itu, Mohd. Syahbuddin turut berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Kemajuan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Shafie Abas berhubung perkara itu.
Katanya, perbincangan itu antara lain meminta jasa baik syarikat pembalakan bagi membaiki jalan serta jambatan yang runtuh.
“Saya dimaklumkan sudah ada syarikat pembalakan yang turut menggunakan jalan terbabit setiap hari membantu meratakan laluan balak.
“Kita berharap syarikat pembalakan membantu kita sementara kerajaan dapat membaik pulih jambatan berkenaan dengan sempurna,” katanya. -K! ONLINE