Oleh MOHD RAFIE AZIMI
ALOR SETAR – Sebanyak 94 kes penipuan Macau Scam dengan jumlah kerugian mencecah RM1.9 juta dilaporkan di negeri ini sejak Januari hingga Jun tahun ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, seramai 23 individu termasuk warga asing berjaya ditahan dengan sembilan daripadanya telah dituduh di mahkamah.
“Ada di antara pendatang asing tersebut yang dibawa ke negara ini dengan tujuan untuk menipu mangsa dari negara mereka sendiri.
“Justeru, pemantauan sentiasa dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Minum Petang Bersama Media Kedah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, golongan pesara dan ibu tunggal merupakan antara sasaran sindiket penipuan Macau Scam.
“Golongan ini sering dianggap sebagai mereka yang berduit yang mana pesara contohnya menjadi sasaran kerana memiliki wang persaraan dalam akaun mereka,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya menerima maklumat terdapat kejadian sindiket penipuan semakin berani dengan pergi ke rumah mangsa di negeri-negeri lain.
“Di Kedah masih belum ada laporan berhubung perkara itu namun semua pihak tetap harus berjaga-jaga,” katanya.
Tambahnya, orang ramai perlu sentiasa berhati-hati setiap kali menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.
“Sindiket ini cukup cekap beroperasi dengan mereka bijak membaca karakter mangsa untuk melakukan penipuan,” katanya. – K! ONLINE