KUALA LUMPUR- Seorang wanita yang dipercayai baru pulang dari luar negara dan sedang dalam proses kuarantin wajib di rumah tular apabila dilihat makan di sebuah restoran, Hanaz Cafe di Ipoh, Perak hari ini.
Menerusi hantaran Seorang pengguna Facebook, Nurul Chu Hada Karim, wanita itu sedang dicari untuk tindakan undang-undang akibat melanggar perintah kuarantin wajib di rumah.
“Nurul sendiri dah hubungi Jabatan Kesihatan Negeri Perak untuk tanya pasal maklumat mak cik ini. Mereka masih siasat kes ini.
“Sebentar tadi pukul 11.23 pagi pegawai kesihatan datang kafe buat siasatan pasal kes mak cik ini. Alhamdulillah pegawai sah kan mak cik tak positif,” katanya di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Penasihat Khas Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood yang juga penasihat Perdana Menteri menerusi laman Twitternya berkata, tindakan wanita itu boleh membawa risiko gelombang kedua Covid-19 di negara ini.
“Anda dan keluarga anda memalukan. Peraturan yang lebih ketat diperlukan. Covid-19 masih ada diluar sana,” katanya.
Laman Twitter Kementerian Kesihatan turut mengulang ciapan tersebut. – K! ONLINE