KUALA LUMPUR – Tindakan seorang ibu tunggal yang menampar kedua-dua belah pipi anak perempuannya yang mengalami disleksia sehingga lebam, membawa padah apabila dia didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman tersebut ke atas wanita berusia 33 tahun itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari kedua perbicaraan kesnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar jumlah denda itu dan tertuduh membayarnya.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun dua bulan, dengan menampar mukanya di sebuah rumah di Taman Tun Dr. Ismail di sini, pukul 8.30 malam hingga 9 malam pada 6 Nov 2019.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd. Jafri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan dengan alasan tertuduh sepatutnya melindungi mangsa dan perlu bersabar dalam mendidik anaknya yang mempunyai masalah pembelajaran iaitu disleksia.
“Hukuman setimpal perlu dikenakan ke atas tertuduh agar menjadi pengajaran pada orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Bagaimanapun peguam Mohd. Irwan Mohd. Mubarak yang mewakili tertuduh merayu mahkamah hukuman mengenakan denda minimum kerana anak guamnya seorang ibu tunggal dan ini adalah kesalahan pertama tertuduh.
“Tertuduh masih penjaga kepada kanak-kanak itu dan dalam kes ini anak guam saya tidak sengaja melakukan perbuatan itu dan kejadian ini adalah pertama kali berlaku sepanjang dia menjaga mangsa, ” kata peguam itu. K!ONLINE