KUALA LUMPUR – Negara mengalami kerugian lebih RM2 bilion sehari jika kerajaan terpaksa melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hal tersebut akan turut menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.
“Sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi amat besar.
” Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari,” katanya dalam perutusan khas PKPP yang disiarkan secara langsung hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan sama memaklumkan beliau berasa bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu Covid-19.
Beliau memberi contoh Kluster Restoran Kuala Lumpur dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai dan Kluster Stutong bermula 18 Julai 2020.
Selain itu, terdapat empat kluster baharu dikesan berpunca dari mereka yang pulang dari luar negara sejak 7 Julai lalu.
Lebih membimbangkan Perdana Menteri apabila kes positif Covid-19 didapati kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari lalu. K! ONLINE